Followers

Friday, December 25, 2009

Prudential sasar pasaran insurans bumiputera

Oleh Sarah Nadlin Rohim
sarah.rohim@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Prudential Assurance Malaysia Bhd. (Prudential) melihat terdapat peluang yang besar untuk memasuki pasaran insurans bumiputera yang menjadi pasaran utama di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charlie E. Oropeza berkata, Prudential akan mengambil langkah itu dengan meneruskan pertumbuhan agensi yang merupakan saluran utama untuk pemasaran produk keluarannya.

''Kami mempunyai strategi untuk meningkatkan agensi tersebut dengan menggandakan kekuatan setiap agensi.

''Antara langkah yang akan diambil adalah mempergiat latihan bermula daripada pengetahuan terhadap produk dengan penekanan diberikan kepada perkhidmatan pelanggan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Oropeza, pada masa ini, Prudential memiliki lebih 11,000 agensi dengan 30 peratus daripadanya adalah bumiputera.

''Kami percaya dengan mempunyai kekuatan agensi Prudential dapat menguasai pasaran kerana Malaysia adalah negara pelbagai bangsa dengan 50 peratus daripadanya adalah pasaran bumiputera dan Melayu.

''Kami menyaksikan peluang terdapat di situ. Prudential juga akan sentiasa memastikan agensi terus produktif dan berjaya melalui pengenalan produk berinovatif,'' jelasnya.

Selain itu, Oropeza berkata, Prudential juga sedang mencari rakan strategik berpotensi bukan sahaja dengan pihak bank tetapi juga syarikat besar yang mempunyai pangkalan data yang luas.

''Dengan cara itu, kami boleh mendekati pelanggan dan bakal pelanggan melalui saluran agensi. Kerjasama tersebut adalah melibatkan jualan bersilang produk insurans keluaran Prudential.

''Sebagai contoh, syarikat yang mendapat perhatian kami adalah syarikat telekomunikasi atau televisyen berbayar,'' katanya.

Selain itu, Oropeza berkata, untuk menembusi pasaran bumiputera dan Melayu, agen Prudential boleh berbuat demikian dengan menjual produk konvensional dan takaful.

Produk itu ditawarkan oleh syarikat di bawah satu bumbung Prudential, PruBSN yang berjaya mendapat sambutan menggalakkan.

''Daripada segi produk Prudential akan sentiasa mengeluarkan produk yang memberi nilai tambah kepada pelanggan,'' katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Prudential akan terus mengekalkan pertumbuhan meskipun pasaran berada dalam keadaan tidak menentu berikutan krisis ekonomi yang melanda.

''Apabila pasaran kembali pulih, Prudnetial yakin terdapat banyak peluang untuk kami tumbuh dan kembang.

''Prudential juga akan menaik taraf produk sedia ada selain memperkenalkan produk baru dan tumpuan juga akan diberikan kepada perkhidmatan pelanggan,'' katanya lagi.

sumber Utusan Online

No comments: