Followers

Tuesday, December 30, 2008

PruBSN labur RM7j buka tujuh cawangan

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN) akan membelanjakan kira-kira RM7 juta bagi menubuhkan tujuh cawangan baru dalam 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Mohamad Salihuddin Ahmad berkata, dua cawangan pertama yang akan ditempatkan di Shah Alam dan Johor Bahru, dijadualkan memulakan operasi dalam suku pertama tahun depan.

"Lima cawangan lagi akan juga ditempatkan di ibu negeri. Penubuhan setiap cawangan baru ini menelan kos kira-kira sejuta ringgit," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2006 itu berhasrat memperkukuh kedudukannya di negara ini, kata Mohamad Salihuddin.

Pada masa ini, PruBSN mempunyai tiga pusat operasi di Kuala Lumpur, iaitu hab perkhidmatan berkongsi di Menara Yayasan Tun Razak, pusat pemasaran dan pentadbiran di Wangsa Maju dan ibu pejabatnya di Menara Prudential di Jalan Sultan Ismail.

PruBSN yang merupakan usaha sama milik 51:49 antara Bank Simpanan Nasional Bhd. dan Prudential itu, sehingga ini telah mengumpul caruman baru dan tetap berjumlah RM340 juta. Kira-kira 95 peratus produknya adalah dari segmen keluarga.

Meskipun baru menceburi perniagaan takaful dua tahun lalu, namun syarikat itu telah menguasai 35 agihan pasaran dari segi pertumbuhan perniagaan baru.

Mohamad Salihuddin mengaitkan pertumbuhan ini kepada pelbagai faktor, termasuk kakitangan dan ejennya yang dinamis.

"Kami berkembang dengan amat pesat. Daripada hanya 20 kakitangan, syarikat ini kini mempunyai 200 kakitangan dan kira-kira 9,000 ejen," katanya.

Daripada keseluruhan tenaga agensinya pada masa ini, 70 peratus adalah bukan Islam, dan ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat serta semakin pentingnya perniagaan takaful.

Pemegang polisi PruBSN berjumlah 190,000, dan daripada jumlah ini 34 peratus terdiri daripada bukan Islam.

Kata Mohamad Salihuddin, syarikat itu ingin mencetuskan kesedaran di kalangan orang ramai bahawa takaful bukanlah semata-mata untuk umat Islam.

"Ia untuk semua. Takaful adalah satu sistem, dan tiada kaitan dengan anutan agama," tegasnya.

Menurutnya pasaran takaful di Malaysia masih belum diterokai kerana kadar penembusannya hanyalah 8.0 peratus berbanding 40 peratus bagi produk insurans konvensional.

Mohamad Salihuddin berkata, syarikat itu juga merancang untuk memperkenal satu produk baru, iaitu PruBSN ASAS, dalam suku pertama tahun depan.

Kata beliau, PruBSN akan terus memberikan tumpuan kepada segmen takaful keluarga berikutan kejayaan produk TAKAFULINK yang menyediakan perlindungan dengan pautan kepada tiga dana, iaitu dana ekuiti, dana terurus dan dana bon.

PruBSN adalah pengusaha takaful pertama yang menawarkan kad perubatan kepada pelanggan.

- Bernama

Sumber
Utusan Malaysia Online

No comments: